Berita-portalNotis-intranet

3/7/2021- ISU AIR BERBAU DI JASIN DAN MERLIMAU

Pengguna di sekitar Jasin dan Merlimau telah dihebohkan dengan air paip yang berbaru sejak kebelakangan ini. Badan Kawal Selia Air Melaka dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) telah menjalankan beberapa siri operasi dan penyiasatan berhubung isu ini. Setelah penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak 2 minggu, BKSA telah mengenalpasti punca masalah air berbau bagi pengguna air di Jasin dan Merlimau.

Hasil analisa makmal persempelan air yang diambil mendapati terdapat bahan dan bau yang sama yang terdapat di loji intake Chinchin dan Lanchang dengan syarikat berkenaan.

Pihak BKSA telah mengemukakan notis arahan penutupan operasi kilang selama 7 hari bermula hari ini. Penutupan dilakukan bagi memastikan segala kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian dilakukan dalam masa yang ditetapkan. BKSA juga akan menjalankan pemantauan dari masa ke semasa agar pihak syarikat mematuhi segala aspek telah ditetapkan.

Sehubungan dengan itu, Peringatan kepada semua syarikat atau individu yang sengaja atau tidak sengaja melakukan pencemaran sumber air boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39, Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) 2014 : Pencemaran sumber air dan kawasan tadahan air yang menyatakan bahawa :

Mana-mana orang yang dengan sengaja atau dengan cuai mencemar atau menyebabkan air di dalam mana-mana sumber air dan kawasan tadahan air menjadi tidak bersih, tidak selamat atau tidak sesuai untuk digunapakai melakukan suatu kesalahan termasuklah

(a) menyebabkan apa-apa bahan beracun, bahan memudaratkan atau bahan pencemar atau bahan buangan yang akan atau berkemungkinan menyebabkan atau menyumbang kepada terjadinya suatu sumber air dan kawasan tadahan air atau bahagiannya membahayakan, memburukkan atau menjejaskan kesihatan, keselamatan atau kebajikan orang awam atau kehidupan atau kesihatan haiwan atau tumbuh-tumbuhan atau padanya atau terhadap penggunaan berfaedah lain sumber air itu;

(b) menyebabkan apa-apa bahan yang disebabkan haba, kandungan biologi atau kimia atau kesannya menukarkan warna air dan membuatkan sumber air dan kawasan tadahan air beroperasi dan membahayakan kesihatan, keselamatan dan kebajikan awam atau kehidupan dan kesihatan haiwan atau tumbuh-tumbuhan atau menjejaskan penggunaan berfaedah lain sumber air itu;

(c) menyebabkan apa-apa bahan yang disebabkan keadaan fizikal, kandungan kimia atau biologi,atau kesannya menukarkan warna air membuat atau menyumbangkan terhadap membuatkan sumber air dan kawasan tadahan air itu sukar dipulihkan atau menjejaskan aliran, kualiti atau kuantiti air di dalam sumber air dan kawasan tadahan air itu; atau

(d) menyebabkan minyak dalam apa-apa bentuk, minyak yang telah digunakan, bahan buangan atau bahan buangan yang mengandungi minyak atau sebaliknya,

dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi satu ribu ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan.

https://www.facebook.com/236996466454639/posts/2137326633088270/