Berita-portalNotis-intranet

Paras empangan air di Melaka meningkat

PERKEMBANGAN positif takungan air empangan di Melaka membolehkan tiada catuan air menjelang Aidilfitri yang bakal disambut kira-kira 20 hari lagi.

Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Datuk Zaidi Attan berkata, peningkatan air di empangan di negeri ini positif termasuk di Empangan Durian Tunggal dengan paras air melebihi 60 peratus berbanding 50 peratus sebelum Ramadan lalu.

Menurutnya, Empangan Asahan pula mencapai kira-kira 93 peratus berbanding kira-kira 83 peratus sebelum ini, sementara Empangan Jus lebih 28 peratus berbanding 25 peratus dalam tempoh berkenaan.

“Taburan hujan yang positif meningkatkan paras air berkenaan dan diharapkan terus meningkat tambahan kerja-kerja pengepaman air Sungai Gersik dan Sungai Melaka ke Empangan Durian Tunggal setiap hari membantu peningkatan kapasiti air dari semasa ke semasa.

“Kekerapan taburan hujan juga membantu kerja pengepaman yang lebih proaktif bagi tujuan mencapai kapasiti maksimum paras empangan yang disasarkan,” katanya.

Oleh itu, Zaidi berkata Aidilfitri kali ini bakal disambut dengan selesa kerana dijangkakan tiada catuan air.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihat untuk sentiasa menjimatkan air sepanjang berada di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Ramadan dan persiapan menyambut Aidilfitri kelak,”katanya.

“Penggunaan air secara berhemah turut membantu mengatasi tindakan catuan tambahan usaha giat yang dilakukan kerajaan negeri termasuk langkah jangka pendek dan panjang secara berterusan bagi mengatasi sebarang kemungkinan terutama menjelang musim kemarau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 11:10 AM